Isnin, 27 Jun 2011

Lagi Lagi Ladang

Ketika artikel ini ditulis, saya bersama rakan-rakan telah melengkapkan 8 minggu tempoh latihan praktikal di MARDI Kuala Kangsar. Berbaki 2 minggu, banyak yang ingin diceritakan termasuk salah seorang rakan yang ditimpa kemalangan semasa dalam perjalanan dari rumah menuju ke arah utara ketika hujung minggu. Secara jujurnya, banyak perkara yang telah dipelajari bermula dari penjagaan anak benih pokok hinggalah kepada ianya berbuah dan boleh dimakan dengan senang hati. Begitu juga sepanjang tempoh ini, ragam manusia dari pangkat tinggi hinggalah kepada pekerja bawahan turut diamati satu persatu tanpa mengira lelaki mahupun wanita. Tidak keterlaluan andai saya menyebut manusia dan pokok tidak banyak perbezaannya. Malah, manusia seharusnya meneladani serta mengambil pengajaran daripada ciptaan Allah berupa tumbuh-tumbuhan dalam mengatur hidup meniti kedewasaan. 


25 kilometer dari Kuala Kangsar...


              Kebetulan jarak rumah yang tidak berapa jauh dari Kuala Kangsar, saya mengambil kesempatan untuk berulang-alik seminggu sekali.  Di sepanjang perjalanan, berbagai-bagai peristiwa yang dapat dilihat. Kesibukan pagi hari dengan kenderaan yang berpusu-pusu keluar hinggalah kepada murid-murid sekolah yang melangkah menuntut ilmu. Saya kagum. Melihat kepada pemandangan sedemikian, ia adalah lambang kepada arus kehidupan yang terus berjalan. Pola hidup manusia yang terus berputar. Tanpa henti. Tanpa tersekat-sekat, tanpa menoleh walaupun mungkin isi hati mereka bercampur baur akan cabaran hidup yang bakal ditempuh. Demikian sepanjang perjalanan pulang ketika hujung minggu, gelagat para peniaga di tepi jalan sering menarik perhatian. Kebetulan sekarang merupakan musim durian, penduduk kampung terutamanya mengambil peluang menjual hasil tanaman mereka. Ada gerai yang berpuluh-puluh biji dan manggis dengan hanya seorang peniaga. Malah, ada gerai yang hanya selonggok durian tetapi yang menjualnya mungkin sampai seisi keluarga. Itu bukan soalnya. Apa yang penting ialah kegigihan mereka untuk mencari rezeki. Dengan kerut muka menahan panas terik dan sesak nafas menahan asap kenderaan yang lalu lalang, mereka tetap di situ menanti dan terus menanti.


 Di kolam air
25 kilometer dari Taiping…

            Para pekerja dikehendaki ‘punch card’ sebelum 7.30 pagi pada setiap hari. Begitu juga dengan kami pelatih praktikal. Jika tidak, masa kehadiran pada kad akan berwarna merah dan amaran akan diberikan jika kehadiran lewat berlaku dalam tempoh berturut-turut. Tempoh dua bulan yang lalu banyak memberi pengalaman yang begitu berharga. Berkenalan dengan durian dan segala macam jenis keturunannya, manggis, limau yang berjenis-jenis hinggalah kepada serangga perosak, penyakit yang menjangkiti pokok dan buah serta berbagai lagi. Kami turut diajar mengenai racun perosak, kaedah merawat jangkitan pada pokok, alatan yang sering digunakan serta baja yang menjadi makanan mengikut peringkat umur. Dalam tempoh ini juga, kami turut mengikuti sesi latihan pengurusan pentadbiran, kewangan organisasi selain daripada kerja-kerja berat di ladang.

Saya juga belajar tentang manusia.

Manusia. Kalimah yang merujuk kepada makhluk sebaik-baik ciptaan. Mula-mula seronok bila berhubung dengan manusia. Akan tetapi, bosan mula terbit perlahan-lahan. Ia tidak mampu dihalang apabila manusia mula menunjukkan ‘belang’ yang sebenar.

Saya tidak pasti bagaimana di tempat lain . Budaya mengherdik pekerja bawahan ( termasuk pelatih) seolah perkara biasa. Kalau tidak silap, pelatih-pelatih perubatan turut mengalami situasi yang sama.
Saya tidak dapat menerimanya. Hampir-hampir saja melenting. Mujur durian sebiji gred A di tangan dilepaskan semula. Jika tidak, mungkin ada manusia yang bakal pencen awal daripada tarikhnya yang sebenar.

Sekalipun ingin menegur kesilapan, biarlah munasabah dengan kadar kesalahan. Janganlah kerana marahkan kecuaian yang kecil, tengking-menengking sesuka hati. Bagaimana yang muda ingin hormat kepada yang tua? Biarlah hubungan yang singkat ini terjalin dengan baik dan harmoni tanpa ada dendam mahupun benci di hati.
Pun begitu saya teringat ungkapan salah seorang pekerja. “Pokok ni nampak je berpenyakit, tapi akarnya masih elok”. Ketika itu saya secara tidak langsung terus terbayangkan manusia. Begitulah perumpamaanya. Walaupun luarannya kelihatan rosak, hakikatnya masih boleh diperbaiki jika kena pada caranya.

2 minggu terakhir…

            Minggu-minggu terakhir ini saya jangkakan bakal sibuk dengan laporan bertulis. Semuanya harus disiapkan sebelum tamat tempoh latihan untuk mengelakkan kesulitan. Juga bakal sibuk dengan divisyen terakhir di bahagian promosi teknologi. Saya mengharapkan dua minggu terakhir ini bakal memberi pelajaran dan pengalaman baru. Apa yang penting ialah hidup mesti diteruskan. Walau apa jua yang telah berlaku, sedang berlaku mahupun yang bakal berlaku, tiada istilah kecundang dalam hidup. Jatuh bangun adalah lumrah kehidupan. Terlebih mustahak adalah bangkit daripada jatuh. Itulah prinsip kehidupan yang harus dipegang.


0 ulasan: