Siapa yang tidak kenal dengan Muhammad? Seorang tokoh yang menempa sejarah peradaban manusia dengan tinta emas lebih 1400 tahun yang lalu. Susuk tubuh baginda bukan hanya menjadi sasaran penulis sejarah Muslim untuk dibukukan riwayat hidupnya. Malah, penulis-penulis daripada bukan Muslim turut mengakui kehebatan pengaruh yang dibawa oleh insan bernama Muhammad.
Menurut Michael H. Hart, penulis buku The 100: A Ranking of The Most Influential Persons In History, “Muhammad has been ranked higher than Jesus.Muhammad played a far important role in the development of Islam than Jesus did in the development of Christianity”. Beliau menggambarkan Muhammad adalah watak penting terhadap pembangunan dan penyebaran Islam. Malah, peranan yang dimainkan oleh baginda dianggap lebih berkesan berbanding apa yang telah dilakukan oleh Nabi Isa a.s pada zaman sebelum kelahiran baginda.
Menurutnya lagi, “My choice of Muhammad to lead the list of the world's most influential persons may surprise some readers and may be questioned by others, but he was the only man in history who was supremely successful on both the religious and secular level “. Beliau memilih Muhammad untuk menerajui senarai manusia yang berpengaruh dalam sejarah dunia walaupun mengakui akan menimbulkan persoalan oleh banyak pihak. Namun,itulah realitinya. Baginda dianggap berpengaruh kerana revolusi yang dibawa bukan hanya dalam soal penyebaran agama, malah sistem kehidupan manusia turut diperbaiki ke taraf yang lebih baik. Ini adalah salah satu pengiktirafan yang boleh ditemui dalam konteks penulisan sejarah. Pun begitu, tidak dinafikan, ketika ini muncul ramai penulis yang ghairah menyusun kembali sejarah hidup Nabi Muhammad s.a.w dalam bentuk yang lebih ringkas dan mudah difahami.
Bila berbicara tentang Nabi Muhammad s.a.w. segala perbincangan perlu balik kepada asas kerasulan iaitu baginda merupakan utusan Allah yang terakhir.Utusan yang membawa seruan yang sama seperti mana sebelumnya iaitu menyeru ke arah mentauhidkan Allah, mengajar manusia dengan ayat-ayat-Nya dan menyucikan jiwa manusia. Firman Allah s.w.t :
Sebagaimana Kami telah mengutus kepadamu seorang Rasul (Muhammad) dari (kalangan) kamu yang membacakan ayat-ayat Kami, menyucikan kamu, dan mengajarkan kepadamu Kitab (Al-Quran) dan Hikmah (Sunnah), serta mengajarkan apa yang belum kamu ketahui. (Al-Baqarah,2:151)
Sifat keinsanan rasul ini membolehkan kita mencontohi baginda dalam setiap perintah yang diutuskan Tuhan. Baginda bukan malaikat juga bukan anak Tuhan seperti yang diyakini oleh umat terdahulu yang menyimpang daripada ajaran yang sebenar. Rasul yang dilantik dalam kalangan manusia ini adalah untuk mematahkan hujjah golongan yang sengaja mencari alasan untuk menafikan wahyu selain daripada logik bahawa manusia akan mudah mengikuti model daripada bangsa mereka sendiri. Jika rasul itu daripada kalangan malaikat, sudah tentu sukar bagi kita untuk mencontohinya kerana ingin melihat tubuh fizikalnya pun sudah mustahil. Demikianlah seperti yang diungkapkan :
Katakanlah (Muhammad), “ Aku tidak mengatakan kepadamu, bahawa perbendaharaan Allah ada padaku, dan aku tidak mengetahui yang ghaib dan aku tidak (pula) mengatakan kepadamu bahawa aku malaikat. Aku hanya mengikuti apa yang diwahyukan kepadaku. (Al-An’am,6:50)
Tanda Cinta Ikut
Saban tahun kita menyambut sambutan maulidurrasul dengan bermacam-macam tema. Namun, sambutan itu tidak memberi kesan yang mendalam kepada kehidupan dalam masyarakat. Malah, lebih buruk upacara sambutan ini menjadi mangsa permainan politik kotor pada tahun yang lalu. Kita sering mengaku cinta kepada Nabi, tetapi tidak membuktikannya dengan cara yang betul. Cinta bukan sekadar ingat. Juga bukan sekadar lafaz. Cinta kepada Nabi bukan murahan seperti cinta muda-mudi yang tidak berasas. Tanda cinta kepada Nabi adalah dengan mengikuti jejak langkah baginda. Cinta yang teratas selepas cinta kepada Allah. Firman Allah s.w.t :
Katakanlah (Muhammad), “Jika kamu mencintai Allah, ikutilah aku, nescaya Allah mencintaimu dan mengampuni dosa-dosamu.” Allah Maha Pengampun,Maha Penyayang. (Ali-Imran,3: 31)
![]() |
| gambar hiasan |
Justeru, adat kita hari ini wajar diubah. Sambutan pada tahun ini harus lebih segar supaya segala petunjuk daripada Nabi itu menjadi sandaran dalam kehidupan kita. Sesungguhnya, Nabi Muhammad s.a.w sangat mencintai umatnya. Kita juga harus sedemikian rupa. Cinta kepada Nabi harus sentiasa disuburkan. Ingatlah, dalam setiap detik kehidupan ini, jangan lupa hubunganmu dengan Muhammad!.



0 ulasan:
Catat Ulasan