Khamis, 9 September 2010

Selamat Hari Raya Aidilfitri 1431 H


          Selamat Hari Raya!Hari ini kita sekali lagi berkesempatan melangkahkan kaki ke bulan Syawal.Ramadhan yang ditinggalkan pasti memberi seribu satu makna kepada insan yang bersungguh-sungguh menghayatinya.Berdoalah semoga pada masa akan datang kita akan diberi kesempatan sekali lagi untuk menjadi tetamu Ramadhan.Tiada siapa yang tahu sama ada Ramadhan kali ini yang terakhir atau tidak buat diri masing-masing.

            Selain itu,marilah kita bersama-sama menyambut hari kemenangan ini dengan penuh kesyukuran.Melafazkan takbir dengan rasa kehambaan dan kekerdilan diri sebagai hamba Yang Maha Kuasa sebagai tanda jiwa ini tunduk kepada kekuasaan-Nya.Ibn Mas'ud r.a pernah mengucapkan:

"Allahu Akbar,Allahu Akbar,Laa ilaha illallah,wallahu akbar,Allahu Akbar wa lillahi hamd"
(HR Abi Syaibah)
Malah,kita dituntut mengeraskan suara ketika bertakbir.Menurut al-Hafiz Ibn Hajar al-'Asqalani r.h:

"Ketika Umar r.a sedang berada di dalam khemahnya di Mina,dia sentiasa bertakbir(secara kuat).Begitu juga orang ramai yang berada di dalam masjid dan mereka yang berada di pasar hinggakan Kota Mina bergema dengan suara takbir".

             Gunakanlah kesempatan yang ada ini untuk merapatkan hubungan silaturrahim di antara rakan taulan mahupun sanak saudara.Mungkin pada kali ini hari lebaran disambut tanpa orang yang disayangi.Moga Allah memberi ketabahan hati untuk meneruskan sisa-sisa kehidupan.Tiada siapa yang mahu hidupnya ditimpa musibah,akan tetapi ingatlah setiap kesusahan yang datang adalah ujian Allah ke atas hamba-NYa dan pasti kesenangan dan kemudahan akan mengiringi selepas itu.Hanya kesabaran mampu mengubat jiwa yang  sedang terluka.

Sambutlah hari raya ini dengan kegembiraan bukan kesedihan.Kerana inilah perayaan yang telah dikhususkan untuk umat Islam bergembira.Anas bin Malik r.a:

"Nabi s.a.w pernah datang ke Madinah sedangkan penduduknya memiliki dua hari raya yang mana mereka bermain-main(bergembira) di masa jahiliah pada kedua-dua hari itu.Lalu,baginda berkata:Aku datang kepada kamu semua sedangkan kamu memiliki dua hari(raya)yang menjadi permainan kalian pada masa jahiliah.Sabdanya lagi:Sesungguhnya ALLAH telah menggantikan kedua-dua hari itu dengan yang lebih baik,iaitu hari raya Aidiladha dengan Aidilfitri".
(HR An-Nasaai)

            Dato' Nik Abdul Aziz bin Nik Mat juga ada mengingatkan kita supaya terus kekal mengamalkan hidup beragama.Tibanya Syawal bukanlah penamat tetapi bermulanya kembali pertarungan hidup setelah sebulan melatih diri dan mendidik hawa nafsu.Seharusnya kini kita lebih bersemangat untuk terus meratakan dakwah Islam kepada umat manusia supaya rahmat agama ini dapat dirasai bersama.
Semoga Syawal pada kali ini lebih mendekatkan diri kita kepada-Nya.'Taqabbalallah minna waminka'(Semoga Allah menerima amalan kami dan amalanmu).

Allahu Akbar!Allahu Akbar!Allahu Akbar!wa lillahil hamd!

          







0 ulasan: