Khamis, 30 September 2010

Bahasa Melayu:Duka Yang Berpanjangan


Tanah Melayu telah mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957.Kemudian,pada 16 September 1963 sebuah negara yang bernama Malaysia ditubuhkan.Mungkin banyak fakta yang perlu dibongkar kembali untuk memahami sejarah pembentukan Malaysia.Banyak perkara yang boleh dijumpai.Sudah tentu antara  perkara yang paling diberi perhatian ialah langkah terbaik untuk memelihara perpaduan di antara kepelbagaian bangsa,agama dan budaya yang wujud di Malaysia.Perpaduan adalah perkara yang terpenting.Lihatlah bagaimana peristiwa 13 Mei 1969 yang tercetus beberapa tahun selepas pembentukan Malaysia meletakkan negara dalam situasi cemas dan tegang.Peristiwa itu telah mengorbankan banyak jiwa dan masih menjadi ingatan pada hari ini.

Kedudukan Bahasa Melayu

        Isu kedudukan bahasa Melayu sudah banyak diperdebatkan.Saya malas nak bentangkan peristiwa-peristiwa yang melingkari bahasa Melayu.Sama ada peranan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dalam sistem pendidikan sehinggalah kepada urusan rasmi kerajaan mahupun iklan-iklan perniagaan di tepi jalan.Semuanya itu  melibatkan bahasa Melayu yang suatu ketika dahulu pernah diangkat menjadi bahasa rasmi kebangsaan.

        Namun,lihatlah di sekeliling kita apa yang telah berlaku.Sejauh mana bahasa Melayu diangkat martabatnya?Kalau orang Melayu sendiri menganggap bertutur di dalam bahasa ibunda sebagai 'kelas rendah' atau 'rasa terhina',apa lagi yang kita boleh perkatakan.Malah,istilah 'bahasa Melayu'sudah ditukar tanpa disedari kepada 'bahasa Malaysia' atas alasan untuk memupuk perpaduan.Saya tidak lihat dengan langkah yang diambil ini benar-benar menjurus ke arah perpaduan melainkan syak wasangka dan bibit-bibit permusuhan yang semakin bercambah.

        Saya secara peribadi bukanlah mempunyai apa-apa niat apabila menulis tentang hal ini.Cuma hairan apabila ada rakan yang ketawa melihat laman mukabuku(facebook) saya yang menggunakan bahasa Melayu.Saya pun tidak  pasti siapa yang diketawakan,sama ada dirinya sendiri atau orang lain.  

Bukan Anti Bahasa Asing

        Saya pernah dirotan kerana gagal dalam ujian bahasa Inggeris.Peristiwa itu berlaku pada tahun 1998.Saya masih ingat lagi,di antara mereka yang menerima hukuman itu,hanya saya seorang yang memegang jawatan pengawas sekolah.Peristiwa itu agak memalukan tetapi kini saya sendiri berpeluang melanjutkan pelajaran ke universiti yang menggunakan medium bahasa Inggeris.Walaupun tidaklah begitu fasih, namun sekadar untuk memahami pelajaran di dalam kelas ataupun berbual dengan laras bahasa yang mudah sudah memadai untuk membolehkan saya meneruskan hidup dalam suasana yang sebegini.

        Sungguhpun demikina,memperjuangkan bahasa Melayu bukanlah bermaksud anti kepada bahasa asing.Menguasai lebih daripada satu bahasa diakui mempunyai banyak kelebihan.Akan tetapi,ketika bangsa lain bermati-matian memperjuangkan bahasa mereka sendiri,mengapa apabila suara memperjuangkan bahasa Melayu kedengaran dianggap 'menolak kemajuan sains dan teknologi'?.Malah,mereka  turut dilabel perkauman dan tidak maju dalam berfikir.

Saya melihat perkara ini bukan masalah dari sudut menolak kemajuan atau tidak.Tetapi,masalah ini berpunca dari cara berfikir yang salah oleh golongan yang hanya memikirkan keuntungan diri.Bahkan,jika hendak dibentangkan tentang sumbangan bahasa Melayu,ia bukan hanya melibatkan sejarah perdagangan lampau dan keunikannya,malah ia turut melibatkan Islam yang mengubah cara hidup dan meninggikan maruah bangsa Melayu sebagai penduduk terbanyak di negara ini.


Keliru

        Kadang-kala apabila cuti semester,ketika berada di rumah,anak-anak jiran akan datang untuk membuat kerja rumah yang diberikan oleh guru.Ia sangat sukar.Walaupun buku teks dalam bahasa Inggeris,tetapi untuk memudahkan mereka faham tentang pelajaran,bahasa Melayu amat diperlukan.Kerana bahasa ialah alat untuk berfikir.Mustahil kita sebagai bangsa Melayu akan mampu untuk berfikir di dalam bahasa Inggeris melainkan cara hidup,bahasa pertuturan dan suasana sekeliling menjurus ke arah itu.Kalau hidup dengan budaya asing,apa guna lahir sebagai bangsa Melayu?

        Jika ingin diselak satu-persatu,generasi hari ini mengalami kekeliruan yang serius.Bukan sahaja bahasa ibunda tidak dikuasai dengan baik,malah bahasa asing yang dibanggakan itu turut menjadi mangsa.Lihat bagaimana ejaan tunggang terbalik,bahasa yang bercampur-campur menjadikan kita tidak mahir langsung walau dalam satu perkara.Sekadar berbual dengan bahasa pasar mungkin boleh,tetapi itu tidak memadai untuk menguasai ilmu pengetahuan dan cabang kehidupan yang lain.

Selagi bahasa Melayu tidak dikembalikan fungsi sebenarnya,selagi itulah duka lara jiwa Melayu akan terus berpanjangan.Mengubat cinta yang terluka,tidak memadai dengan hanya janji-janji manis sang penguasa.Semakin lama ia dibiarkan,semakin tinggi harga yang perlu dibayar untuk menebusnya kembali.
                


1 ulasan:

Imtinan berkata...

Pertama,syabas.masih 'bernyawa' blog anda!
Pertanyaan.."Selagi bahasa Melayu tidak kembali ke tempat asalnya,selagi itulah duka lara jiwa Melayu akan terus berpanjangan." Tempat asal yang bagaimana yang dimaksudkan?

BM memg tidak dapat dinafikan keberkesanannya dalam pembelajaran+pengajaran.dan kalau dilihat kepada murid2/pelajar sekarang pun,penguasaan dalam BM memg lemah.ditambah dengan penggunaan singkatan perkataan yang merosakkan sendiri BM tu.Rasanya xperlu tgk jauh..diri kita sendiri dah cukup.subjek BM yang kita ambil,berapa kerat daripada kita yang mampu utk berbahasa melayu yang betul??'presentation' pun masih terkeluar jugak perkataan BI..

Ukasyah,mungkin awak boleh letak cadangan utk tingkatkan penguasaan BM di entri ni?Good effort.teruskan usaha!