Islam adalah satu cara hidup yang sentiasa mendidik umatnya menjadi insan bertaqwa.Ketibaan Ramadhan pada kali ini seharusnya disambut dengan penuh kesyukuran kerana masih diberi kesempatan untuk beribadah di dalamnya(dengan izin Allah).Namun,kita amat berdukacita kerana suasana ketibaan Ramadhan sering kali dicemari dengan ‘promosi raya’ yang tidak berkesudahan.Kita bimbang Ramadhan yang akan tiba ini tidak berkesan untuk mendidik diri sekaligus gagal mencapai matlamat untuk meningkatkan ketaqwaan.Firman Allah ‘azzawajalla(maksudnya):
“Wahai orang-orang yang beriman,diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas mereka yang terdahulu daripada kamu,moga-moga kamu bertaqwa”.(Al-Baqarah,2:183)
Ramai orang telah bercakap tentang kelebihan Ramadhan.Sama ada dari sudut kesihatan atau pun ganjaran yang dijanjikan oleh Allah ‘azzawajalla.Namun,perkara yang perlu diberi perhatian ialah sejauh mana ibadah yang dilakukan terutama yang dikhususkan sepanjang Ramadhan itu,bertepatan dengan kadar yang dituntut.Semua ini berbalik kepada kesungguhan kita untuk mencari ilmu.Sudah semestinya cara pelaksanaan ibadah kita ketika masih kecil berbeza dengan umur kita sekarang.Kita tidak mahu hanya bersemangat mengerjakan ibadah,tetapi jahil dan tidak menepati perintah Allah dan Rasul.
Jalan Pulang Ke Pangkuan Tuhan
Dalam pada itu,antara nikmat yang dikurniakan ialah diampunkan dosa-dosa yang telah lalu dengan syarat puasa itu ditunaikan dengan penuh keimanan dan keazaman.Abu Hurairah radhiallahu ‘anh berkata,Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda(maksudnya):
“Barangsiapa yang berpuasa dengan penuh iman dan berazam bersungguh-sungguh,Allah mengampun dosa-dosanya yang telah lalu,dan barangsiapa yang bersolat pada malam Lailatul Qadar dengan penuh iman dan bersungguh-sungguh,Allah mengampunkan dosa-dosanya yang telah lalu”.(Shahih Muslim-hadith no 760).
Bukankah diampunkan dosa yang telah lalu itu satu peluang yang tidak patut disia-siakan ? Ayuh!Kita isi Ramadhan kali ini dengan penuh kesungguhan.Siapa tahu,mungkin pada tahun yang akan datang kita tidak lagi berpeluang bertemu dengan Ramadhan.Andai tahun lalu kita hanya sekadar cukup makan,maka ambillah peluang yang ada pada kali ini untuk benar-benar menghayati semangat Ramadhan.
Manfaatkan Ramadhan
Dataran Ramadhan adalah lapangan yang terlalu luas untuk insan mendidik,membentuk dan memperbaiki diri.Gunakanlah tempoh selama sebulan ini untuk kembali menilai ketaatan diri kepada Tuhan.Apakah selama ini kita ikhlas mengabdikan diri kepada-NYA?Mungkin kita telah terlanjur dalam banyak perkara tanpa disedari.Namun,jalan pulang ke pangkuan Tuhan tetap terbuka untuk insan yang ingin kembali kepada-NYA.Selamat menyambut Ramadhan!.
0 ulasan:
Catat Ulasan