Khamis, 18 Mac 2010

Jenama yang sama,rasa boleh jadi berbeza


Muslim hari ini dibelenggu dengan pelbagai isu.Daripada sekecil-kecil perkara hinggalah perkara yang melibatkan umat Islam di peringkat antarabangsa.Daripada perkara yang sudah lama hinggalah kepada perkara yang baru.Daripada perkara yang membabitkan maruah dan sentimen tertentu hinggalah kepada perkara yang melibatkan kedudukan agama.Namun,jika diperhatikan dan diperhalusi sejenak,ia bukanlah sesuatu yang baru.Dalam lipatan sejarah lampau,ia tidak jauh berbeza dengan manusia di zaman moden ini.Lihat saja di zaman awal kemunculan Islam.Bukankah ia muncul dalam kalangan bangsa yang mengalami keruntuhan moral yang begitu teruk?Golongan wanita hanya sebagai 'alat' murahan.Anak perempuan dianggap sial dan dibunuh tanpa kasihan.Pelbagai kepercayaan khurafat dan karut-marut mempengaruhi segenap tindakan bangsa Arab ketika itu.Malah,yang jelas kesyirikan yang membelenggu mereka menjadikan mereka bangsa yang tidak dikenali di dalam pentas sejarah.

Namun,bangsa yang mundur ini mempunyai keistimewaan.Walaupun kehidupan mereka dikelilingi padang pasir yang luas,mereka kaya dengan sifat-sifat terpuji.Salah satunya ialah berpegang teguh dengan pendirian.

Dalam tempoh 23 tahun kenabian,mereka muncul di pentas sejarah.Misi mereka hanya satu.Walau apa cara sekalipun.

Menebarkan risalah Islam ke setiap pelusuk dan ceruk.

Generasi Kini

Tiada siapa yang mampu menafikan arus kemodenan yang dibawa oleh Islam.Kandungan di dalam al-Quran itulah buktinya.Namun,tidak sedikit mereka yang merasa ragu terhadapnya.Terdapat beberapa faktor yang menimbulkan keraguan ini.Antaranya ialah budaya setempat yang dianggap sebagai ajaran Islam.Apabila timbul sesuatu masalah,ia diselesaikan dengan budaya dan adat sendiri atau bangsa lalu disandarkan kepada Islam dengan berkata "Inilah ajaran Islam".Kaedah yang ketat dan jumud dicampur pula dengan emosi menyebabkan generasi kini menjauhkan diri terhadap Islam.Sebenarnya,kita perlu mengakui yang mereka bukan menolak Islam akan tetapi tidak bersetuju dengan pendekatan untuk memahami Islam.

Kelompok yang lain pula menganggap Islam sudah tidak moden.Tidak sesuai dan ketinggalan zaman.Slogan-slogan mereka yang ingin bebas jelas kedengaran.Mereka membela wanita yang kononnya tertindas gara-gara poligami.Mereka lantang mempersoalkan kewajaran wanita dihukum kerana melakukan kesalahan.Malah,ada juga yang tidak segan silu mengatakan semua agama adalah sama.

Dalam hal seperti ini,seorang Muslim seharusnya berhati-hati dalam melangkah.Zaman yang begitu pantas dengan segala macam maklumat menuntut ketajaman akal untuk menapisnya.

Ya,Islam yang ada hanya akan terasa keistimewaanya apabila akal yang waras digunakan untuk menilainya.Kewajaran Islam akan terserlah apabila dibuat perbandingan dengan agama-agama lain.

Umpamanya,Islam membenarkan isteri yang kematian suami untuk berkahwin lain jika dia mahu adalah suatu motivasi untuk meneruskan hidup berbanding dengan kepercayaan Hindu yang membakar isteri bersama dengan mayat suaminya sekalipun si isteri masih muda.

Banyak lagi kewajaran Islam yang memberi kemudahan untuk orang Islam hidup yang boleh ditemui jika kita menggunakan akal dengan cara fikir yang betul.


Memilih Pandangan

Walaupun dikelilingi dengan pelbagai tafsiran terhadap terhadap Islam,kita masih boleh merasai kebenarannya.

Firman Allah 'azzawajalla yang bermaksud:


(yaitu)mereka yang mendengarkan perkataan lalu mengikuti apa yang paling baik di antaranya.Mereka itulah orang-orang yang telah diberi petunjuk oleh Allah dan mereka itulah orang-orang yang mempunyai akal yang sihat.(Az-zumar,39:18)


Walaupun kita bernama Muslim,tetap akan ada perbezaan pandangan dan juga pendapat.Kita tidak boleh memaksa orang lain mengikut kefahaman kita melainkan dengan dalil dan hujah.

Pun begitu,kita tidak akan merasai kemanisan Islam jika ia masih di takuk 'harta warisan'.Hanya akan merasai kepentingannya apabila ia hilang atau di saat-saat tertentu.

Akan tetapi,kita akan merasai kemanisannya sepanjang masa jika ia adalah pilihan.Tak sanggup berpisah walau nyawa dipertaruhkan.

Pilihan di tangan kita.

Sama ada Islam terus menjadi warisan atau satu-satunya pilihan di dalam kehidupan!.




0 ulasan: